Oh!

Tak Mungkin Benar!

17 November 2011

Asal-Usul Nama Blog Takmungkinbenar

Dari mana blog ini mendapat nama? Nah, di sini saya cikgu azim ingin bercerita asal-usul namanya.



Al-kisah maka tersebutlah sebuah kisah pada zaman dahulu kala di sebuah tempat nun jauh di dalam kawasan perkampungan di negara Jepun. Tinggallah seorang petani yang malas bekerja macam nujum pak belalang yang benama Yamaha (aku pun tak ingat nama dia apa sebenarnya). Hobinya suka mendengar cerita daripada sesiapa je yang dia nak dengar. Tak kiralah dia nak dengar cerita bila ada orang melintas depan rumah ke, dekat kebun ke, atas pokok ke, hatta kat kawasan perkuburan sekalipun.

Ada satu tabiat yang dah menjadi habitat dan bersebati dengan dirinya iaitu beliau akan menyebut ‘tak mungkin benar’ setiap kali orang habis bercerita tak kiralah cerita tu cerita rekaan, dongeng, atau cerita apa-apa saje. Ini membuatkan orang fed-up bila nak bercerita kepadanya. Mana taknya, cerita benar yang logik pun dia akan menyebut ianya adalah ‘tak mungkin benar’ diakhir cerita. Tu yang membuatkan orang buat ‘dek’ je bila dia minta bercerita.

Pada suatu hari sedang si Yamaha ni tengah duk rehat kat beranda rumahnya lalulah seorang sahabatnya seorang pengembala kambing yang benama Honda. Lalu dia pun memanggil Honda, “Wei Honda, meh la datang sini bercerita, aku bosan ni takde apa nak buat petang ni”. Maka dengan lemah longlainya si Honda pun pergilah duduk dekat dengan si Yamaha itu.

“Aku boleh bercerita kat kamu, tapi dengan satu syarat, kamu jangan sebut perkataan tak mungkin benar bila aku bercerita nanti, kalau kamu cakap nanti aku akan ambil sekampit beras dari dapur kamu, boleh”. Lalu Yamaha berkata, “Okay okay aku janji, ceritalah cepat sikit, aku tengah bosan betul ni hohoho”, kata Yamaha dengan penuh harapan. Minatnya mendengar orang bercerita tidak dapat disangkal lagi.

Lalu si Honda pun mula bercerita…

“Pada zaman dahulu kala ada seorang maharaja sedang bersiar-siar melawat keindahan di sekitar negerinya. Maharaja itu bersiar-siar dengan menaiki tandu yang dibawa oleh pengikutnya yang ramai mengiringi perjalanannya. Sedang maharaja itu khusyuk duduk sambil menghirup udara segar di dalam tandu tersebut, beliau terdengar bunyi burung bangau yang berwarna kuning keemasan sedang terbang berlegar-legar di atas tandunya dengan. Dek kerana tertarik dan rasa nak melihat burung itu, lalu beliau pun keluar menjenguk dari tandunya. Pap! Tetiba najis burung tu pun jatuh dan terkena kasut maharaja tersebut. Beliau hanya tersenyum saja dan berkata kepada pengawalnya. “Buang kasut ini dan bawakan saya kasut yang baru”. Lalu pengawalnya membuang kasut tadi dan menggantikannya dengan kasut baru.

Kemudian maharaja itu meneruskan lagi perjalanannya. Tak lama lepas itu, burung itu muncul lagi berlegar-legar di atas tandu. Disebabkan tadi tak dapat melihat dengan jelas, maharaja itu sekali lagi keluar melihat dan…Pap! Najis burung itu jatuh tepat dan mengenai baju zirah maharaja tersebut. Beliau hanya tenang sahaja dan berkata, “Pengawal, buang baju ini dan gantikan dengan yang baru”, seperti hamba abdi, pengawalnya menjalankan perintah dengan penuh hormat. Lalu burung itu terbang lebih setelah dihalau oleh pengawal-pengawalnya.

Maharaja meneruskan perjalanannya lagi sambil bersiul-siul keriangan. Entah apa yang die ‘happy’ sangat pun tak tau lah. Tak lama lepas tu burung bangau keemasan tadi muncul lagi dan maharaja sekali lagi berasa ingin menghalau burung itu sendiri lalu dia mengacu-acukan pedangnya kearah burung itu. Tetapi, nasib maharaja itu sekali lagi dihinggapi oleh najis burung nakal itu. Kali ini ia mengenai pedangnya. Beliau hanya bertenang sahaja, “Buang pedang ini dan gantikan dengan yang baru”. Lalu pedang yang baru digantikan.

Nampaknya burung tersebut memang degil dan tiada kesedaran sivik tak tau nak buat kerja lain agaknya. Maharaja meneruskan perjalanannya lagi kerana hari sudah petang, jadi beliau menyuruh pengawalnya membawa tandu dengan cepat. Ketika hampir sampai ke istananya, burung itu sekali lagi muncul di atas tandu tersebut. Maharaja hanya mengeluarkan kepalanya dari tandu itu dan mendongak melihat burung itu. Pap! Najis burung itu tepat mengenai kepala maharaja tersebut. Beliau diam seketika seraya berkata, “Bawakan saya kepala yang baru”. Lalu pengawal memancung kepalanya dan membawakannya kepala yang baru. Setelah diganti dengan kepala yang baru, lalu maharaja pun sampai ke istananya.

….Begitulah adanya ceritanya” Honda menamatkan ceritanya.

“Tak mungkin benar ini!” si Yamaha berkata dengan spontan. “Aha, nampaknya kamu telah memungkiri janjimu, sekarang aku akan ambil sekampit beras dari dapurmu itu”, kata Honda dengan girang lalu pergi ke dapur mengambil sekampit beras dan terus berlalu…

Jadi, selaras dengan cerita ini, saya pun mendapat idea untuk menulis blog cerita-cerita yang pelik dan menarik dengan nama Tak Mungkin Benar ini.
Hahahaha jangan marah ya…

Baca lagi di http://takmungkinbenar.blogspot.com

2 comments:

Anonymous said...

=D hahaha,,punye la panjang sejarah nama blog ni ye.. maharaja tu mst amalkan ilmu salah tu kan

fisya sabri said...

hahaha, dongeng semata-mata jerk bunyik cerita neh