Oh!

Tak Mungkin Benar!

28 May 2014

Bangkai Haiwan Aneh Bergigi Besar di New Zealand

Penemuan pelbagai bangkai haiwan aneh di seluruh dunia menimbulkan pelbagai spekulasi tentang kewujudan haiwan misteri.

Bentuk kepala makhluk ganjil yang ditemui 
di Pantai Pukehina, Teluk Penty, New Zealand.

Antara yang mencuri tumpuan termasuklah bangkai haiwan yang digelar sebagai raksasa laut yang mempunyai gigi besar yang ditemui di sebuah pantai di New Zealand baru-baru ini.

Seorang wanita, Elizabeth Ann telah merakamkan video penemuan bangkai itu di Pantai Pukehina, Teluk Plenty, New Zealand dengan sebahagian tubuh haiwan itu telah hilang.

“Adakah sesiapa yang boleh memastikan apakah makhluk ini? Ia memiliki kepala yang besar serta gigi kacip yang panjang. Badannya mungkin sepanjang sembilan meter. Tetapi, sebahagian tubuhnya sudah terputus,” kata Ann.

Wanita itu berkata, makhluk tersebut mungkin telah diserang haiwan lain sebelum ia mati.

“Makhluk besar itu terdampar selepas ribut kuat. Penduduk sekitar juga tidak tahu tentang makhluk pelik itu dan ia menimbulkan pertanyaan (kemunculan bangkai makhluk itu) dalam kalangan mereka,” katanya.

Ada pihak yang mengandaikan bahawa ia mungkin bangkai buaya air masin, ikan lumba-lumba, belut laut gergasi atau dinosaur.

Bagaimanapun seorang pakar haiwan mamalia, Anton van Helden menolak kesemua andaian itu dengan menyatakan bahawa ia hampir menyamai bentuk ikan paus pembunuh yang kerap ditemui di Fiji dan Teluk Plenty.

Gambar-gambar bangkai itu turut dihantar ke Jabatan Konservasi dan Akuarium Hidupan Laut Kelly Tarlton’s di Auckland, New Zealand untuk dikenal pasti spesiesnya.

Seterusnya, beberapa keping foto makhluk menyerupai ikan paus yang dijumpai oleh anggota-anggota tentera laut Iran di Teluk Parsi turut menimbulkan persoalan orang ramai.

Berdasarkan gambar yang dilihat itu, seorang pengguna internet yang mengaku bahawa dia merupakan pakar biologi menjelaskan bahawa begitu sukar untuk mengenal pasti jenis makhluk tersebut.

Menurut pengarah di Institut Sains Marin, Universiti California, Amerika Syarikat, Dr. Gary Griggs, haiwan itu diandaikan sebagai ikan paus.

“Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya tentang ikan paus dan tulangnya, ia merupakan ikan paus. Bagaimanapun dengan keadaan tubuhnya yang semakin mereput itu, sukar juga untuk mengesahkan bahawa ia adalah haiwan berkenaan,” kata Gary.

Dalam pada itu, seekor haiwan misteri yang hodoh dan sering menyerang lembu penternak telah berjaya dibunuh oleh penternak di Belarus baru-baru ini.

Haiwan itu dikatakan menyamai gambaran tentang makhluk legenda di Amerika Latin, chupacabra yang menghisap darah haiwan ternakan.

Chupacabara menghisap darah selepas ia menggigit kaki haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

Penemuan haiwan ganjil itu dikatakan boleh menjadi kunci untuk menyelesaikan misteri seekor haiwan yang ditemui oleh seorang petani Ukraine pada tahun lalu.

Haiwan yang ditemui itu dikatakan mutasi musang yang berlaku akibat keracunan radiasi selain teori lain menyatakan bahawa ia adalah haiwan hibrid yang menjadi bahan ujian kimia dan biologi yang dilakukan di sebuah kilang pembangunan senjata milik bekas Kesatuan Soviet.

Ahli-ahli biologi pernah mendedahkan bahawa ia merupakan anjing rakun yang dibiakkan di sebuah kilang Soviet pada tahun 1939.

Haiwan itu dikatakan telah dilepaskan ke hutan ketika Perang Dunia Kedua bermula.

-Kosmo


Dah baca klik LIKE (^_^)

No comments: