Nelayan Tangkap Ikan Pelik


PELIK...Othman memegang ikan ganjil yang ditangkap nelayan pesisir pantai di Kuala Kerteh. KERTEH: “Saya terkejut melihat rupa bentuk ikan berkenaan sebelum membuat keputusan membelinya,” kata Othman Abu Bakar, 63, yang membeli ikan mempunyai fizikal ganjil sepanjang tiga meter dan berat sembilan kilogram daripada seorang nelayan di jeti Kuala Kerteh, di sini, kelmarin. Othman berkata, ikan berkenaan berwarna putih dan mempunyai kulit keras serta tajam seperti pari dan berkepala seperti naga, manakala siripnya berwarna merah dan di kepala serta bawah mulutnya mempunyai sesungut panjang berwarna merah selain bintik tajam di bawah badan. 

Katanya, ikan berkenaan dibawa pulang nelayan terbabit jam 11 pagi kelmarin dan dia yang secara kebetulan berada di jeti berkenaan tertarik hati untuk membelinya. “Orang ramai yang ada di situ hairan melihat ikan berkenaan yang menyerupai naga, tetapi berwarna putih dan mempunyai kulit kasar seperti pari, namun tidak bersisik manakala sirip dan kepalanya seperti naga serta badannya lembik seolah-olah tidak bertulang. “Saya meminta kebenaran nelayan berkenaan membeli ikan itu kerana selain tidak pernah melihatnya sebelum ini, saya juga berhajat membawanya pulang bagi ditunjukkan kepada penduduk kampung,” katanya yang enggan memaklumkan harga dibayarnya bagi membeli ikan berkenaan. 

Menurutnya, sebaik pulang ke rumah di Kampung Telaga Papan, di sini, dia dimaklumkan beberapa jirannya mereka juga tidak pernah melihat ikan berkenaan. “Bagaimanapun, ketika ikan itu dibawa naik ke darat, sebahagian kepalanya sudah hancur mungkin kerana tersangkut pada pukat yang digunakan nelayan. “Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya melihat ikan sedemikian rupa dan rakan nelayan di kampung ini juga tidak pernah mendapat tangkapan sepelik itu,” katanya yang bekerja sebagai pengeluar minyak urut. 

Othman berkata, dia mungkin mengeringkan ikan itu dan cuba dijadikan ramuan menghasilkan minyak urut. Sementara itu, Pegawai Penyelidik Departmen Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Perikanan Marin, Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, ikan itu dikenali sebagai ikan naga daripada keluarga Regalecidae yang juga ikan bertulang terpanjang di dunia. “Laut China Selatan adalah satu daripada habitat ikan berkenaan dan bukan mustahil ia tersangkut pada pukat nelayan. “Mengikut rekod jabatan, pihak kami pernah menerima ikan spesies itu daripada nelayan tempatan sekitar tahun 1990-an,” katanya yang memberitahu ikan naga terpanjang pernah ditangkap di Vietnam sepanjang 10 meter.


Dah baca klik LIKE (^_^)

No comments: