PADA jam 2.20 pagi 15 April 1912, kapal
penumpang terbesar dunia yang dianggap tidak boleh tenggelam bernama Titanic
dalam perjalanan sulungnya dari Southampton England menuju ke New York, Amerika
telah tenggelam di utara lautan Atlantik hampir tiga jam selepas melanggar
bongkah ais, mengorbankan 1,523 penumpang dan anak kapal.
Hari ini, 15 April 2012, genaplah 100 tahun usia Titanic.
Hari ini, 15 April 2012, genaplah 100 tahun usia Titanic.
Titanic menempa nama dalam sejarah dunia bukan sahaja kerana saiznya tetapi kerana malapetaka yang menimpa pada pelayaran sulungnya itu. Lebih daripada itu ialah, ia dilabelkan sebagai jentera yang kalis air dan tidak akan tenggelam.
Idea Titanic muncul pada tahun 1907 apabila usahawan terkenal Lord Pirrie dan Pengarah Urusan serta pemilik syarikat pelayaran terkenal White Star bernama Bruce Ismay berganding bahu untuk membina tiga buah kapal gergasi - OLYMPIC, BRITANNIC dan TITANIC.
31 Mac 1909 - Pembinaan bermula di Belfast, Ireland.
31 Mei 1911 - Titanic dilabuhkan buat pertama kalinya disaksikan lebih 100,000 orang.
2 April 1912 - Pelayaran percubaan Titanic di laut lepas Irish berjalan dengan lancar dan berjaya. Ia kemudian berlepas ke Pelabuhan Southampton di Selatan England untuk pelayaran sulung yang pertama ke New York.
4-10 April 1912 - Hiasan dalaman Titanic disempurnakan.
10 April 1912 - Titanic meninggalkan pelabuhan Southampton. Pada jam 6.30 petang Titanic tiba di pelabuhan Cherbourgh, Perancis untuk mengambil penumpang dan barangan lain.
11 April 1912 - Titanic berlepas dari persinggahan terakhir di Queenstown, Ireland pada jam 1.30 petang bersama 2,228 penumpang dan anak kapal.
14 April 1912 - Selepas tiga hari pelayaran, Titanic menerima amaran pertama mengenai kehadiran bongkah ais daripada kapal Caronia pada jam 9 pagi.
11.40 pagi - Sebuah lagi kapal Noordam dari Belanda turut menghantar mesej yang sama.
1.42 petang - Kapal Baltic memberi amaran bongkah ais.
1.45 petang - Sebuah kapal Jerman juga menghantar amaran.
7.30 petang - Titanic diberi amaran terdapat bongkah ais yang sangat besar 80 km di hadapannya.
9.30 malam - Anak kapal dihantar ke menara pemerhatian untuk mengawasi bongkah ais. Anak kapal Titanic mendapati mereka telah tertinggal kesemua teropong di Southampton. Mereka terpaksa bergantung kepada penglihatan mata.
9.40 malam - Operator radio Titanic, Jack Phillips menerima amaran kehadiran banyak bongkah ais di hadapan dan laluan mereka daripada kapal Mesaba tetapi dia mengenepikan amaran tersebut kerana terlalu sibuk melayani dan menerima mesej komersial untuk para penumpang.
11.40 malam - Anak kapal Titanic melihat bongkah ais betul-betul di hadapan laluan Titanic tetapi sudah terlalu lewat untuk mengelaknya. Walau pun jurumudi telah memperlahankan enjin tetapi 37 saat kemudian Titanic melanggar bongkah ais tersebut dari sisi kanannya menyebabkan badan kapal di bawah paras air terkoyak dan robek.
11.50 malam - Arkitek Titanic, Thomas Andrew memeriksa kerosakan dan 10 minit kemudian, air telah melimpah sehingga 5 meter.
15 April 1912
12 pagi - Thomas Andrews memaklumkan kepada kapten Titanic kapal ini akan tenggelam dalam tempoh satu setengah jam dan mendesak agar tindakan meninggalkan kapal diambil.
12.25 pagi - Selepas menerima kawat kecemasan daripada Titanic, kapal dagang Carpathia yang terletak 58 batu dari tempat kejadian terus menuru ke arah Titanic.
12.45 pagi - Bot-bot penyelamat diturunkan dan percikan bunga api kecemasan ditembak ke udara.
1.15 pagi - Air hampir memenuhi bahagian hadapan perut Titanic.
1.55 pagi - Manusia terkaya atas kapal Titanic, John Jacob Astor dilarang menaiki bot penyelamat yang penuh dengan wanita dan kanak-kanak. Mengucapkan selamat tinggal buat kali yang terakhir kepada isterinya yang sarat mengandung.
2.05 pagi - 1,500 penumpang dan anak kapal masih berada di atas kapal.
2.10 pagi - Haluan depan Titanic dilimpahi air sepenuhnya.
2.17 pagi - Buritan Titanic melonjak ke atas akibat tekanan air di haluan. Bekalan elektrik terpadam sepenuhnya. Badan Titanic terputus dua.
2.20 pagi - Titanic tenggelam ke dasar lautan Atlantik.
4.00 pagi - Carpathia tiba dan dalam tempoh lima jam menyelamatkan 705 mangsa Titanic.
17 April 1912 - White Star menyewa sebuah kapal bernama Mackay Bennett dari Nova Scotia Kanada menuju ke tempat kejadian untuk mencari sebanyak mungkin mayat atau mungkin mangsa yang terselamat.
18 April 1912 - Carpathia tiba di Pelabuhan New York bersama 705 penumpang Titanic yang berjaya diselamatkan.
21 April 1912 - Kapal Mackay Bennett menemui 300 mayat dalam tempoh enam minggu operasi mencari dan menyelamat. Tidak ada mangsa hidup yang ditemui.
1 September 1985 - Selepas tujuh dekad di dasar laut, sepasukan kumpulan ekspedisi Amerika-Perancis menemui semula Titanic. Dunia buat pertama kalinya menyaksikan Titanic di dasar laut.
15 April 2012 - Sempena ulang tahun ke-100 tenggelamnya Titanic, dunia buat pertama kalinya bakal menyaksikan bagaimana proses pemetaan seluruh kawasan Titanic terdampar dilakukan dan juga buat pertama kalinya menyaksikan bagaimana Titanic tenggelam yang dipaparkan semula secara saintifik menerusi saluran History berjudul "Mystery Solved" pada jam 8.00 malam ini.
Dah baca jangan lupa sudikan diri klik butang LIKE di bawah ataupun butang SHARE diatas.
No comments:
Post a Comment