Dari mana blog ini mendapat nama? Nah, di sini saya ingin bercerita asal-usul namanya.
Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang sangat gemar mendengar cerita hingga dia akan meminta sesiapa saja yang lalu lalang di depan halaman rumahnya supaya bercerita. Walaupun begitu, selepas mendengar cerita, dia suka berkata, “Ah, tak mungkin benar!” Jadi orang tidak suka bercerita kepadanya.
Pada suatu hari, dia meminta Encik Kitchom yang terkenal kerana kebijaksanaannya untuk bercerita.
“Aku boleh bercerita, tapi kamu mesti berjanji tidak akan berkata, “Itu tak mungkin benar!”
“Sudah tentu tidak. Aku berjanji,” kata lelaki itu.
“Jika kamu menyebutnya juga, aku akan mengambil seguni beras dari jelapang padi kamu,” tegas encik Kitchom.
“Baiklah, baiklah. Silalah bercerita,” kata lelaki itu.
Encik Kitchom pun mulalah bercerita:
“Pada zaman dahulu, ada seorang kaya yang sedang mengembara. Semasa dia menghampiri genting gunung, tiba-tiba muncul burung layang-layang di langit. Ia melayang mengelilingi pelangki dinaikinya sambil berteriak. “Pip, pip p-r-r-r pip!”
Didesak perasaan ingin tahu, Orang Kaya menjenguk keluar dari pelangki dan mendongak.
Sejurus kemudian layang-layang itu melepaskan sesuatu yang tidak elok ke atas baju Orang Kaya. Walaupun begitu, Orang Kaya tidak marah. Dengan tenang dia memerintahkan orang suruhan membawa kepadanya sepersalinan pakaian baru. Apabila dibawa kepadanya dia terus menyalin pakaian dan meneruskan perjalanan.
Tetapi burung layang-layang terus terbang melayang-layang di atas pelangki sambil berteriak, “Pip, pip, p-r-r-r-pip!”
Orang Kaya itu menjenguk keluar sekali lagi untuk melihat burung itu.
Kali ini burung laying-layang itu mengotorkan pedangnya pula. Orang Kaya masih tidak meradang. “Bawakan saya pedang baru,” perintahnya. Apabila pedang baru dibawa kepadanya, dia menyelit pedang itu pada pinggangnya dan meneruskan perjalanan.
Tidak lama kemudian, burung layang-layang datang lagi dan berteriak, “Pip, pip, p-r-r-r-pip!” sambil terbang berkeliling di atas pelangki.
Orang Kaya menjenguk keluar lagi. Kali ini najis yang digugurkan oleh layang-layang itu jatuh di atas kepala Orang Kaya. Orang Kaya masih tidak marah. “Bawakan saya kepala yang baru,” perintah Orang Kaya kepada orang suruhan. Apabila kepala baru dibawa kepadanya, dia terus memancung kepalanya sendiri dengan pedang lalu memakai kepala yang baru. Selepas itu dia meneruskan perjalanan.
“Itu tak mungkin benar!” pekik orang lelaki itu.
“Ah-ha, kalau begitu saya akan bawa balik seguni beras kamu. Terima kasih,” kata Encik Kitchom, lalu pergi dari situ.
Tak Mungkin Benar adalah cerita hikayat dari Jepun ditulis oleh Hiroyuki Tomita (Dipetik daripada Yukaina Kitchomsan diterbitkan oleh Kogakukan)
Jadi, selaras dengan cerita ini, saya pun mendapat idea untuk menulis blog cerita-cerita yang pelik dan menarik dengan nama Tak Mungkin Benar ini.
Hahahaha jangan marah ya…
Dah baca klik LIKE (^_^)
No comments:
Post a Comment