Oh!

Tak Mungkin Benar!

11 December 2012

Harga Ikan Arowana Emas Malaysia RM300,000 Seekor




JIKA durian terkenal dengan jolokan raja buah, arowana emas Malaysia pula mengungguli carta teratas bagi kategori ikan hiasan.

Nilainya yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit seekor menyebabkan spesies ikan yang dikatakan hanya boleh didapati di Tasik Bukit Merah, Semanggol, Perak itu digelar sebagai 'emas yang berenang'.

"Siapa sangka ikan kelisa (panggilan penduduk tempatan bagi arowana emas) yang enak dimasak gulai dan kadangkala dijadikan pekasam oleh penduduk kampung dahulu rupa-rupanya begitu berharga.

"Pada awal 1970-an, ikan ini mudah didapati dan biasa terperangkap di dalam lopak air di bendang padi dan tali air setiap kali selepas musim banjir," ujar Ahmad Don, 58, mengimbas kenangan zaman kanak-kanaknya kepada Jurnal baru-baru ini.

Namun begitu, Ahmad yang ketika itu berusia belasan tahun merupakan antara segelintir individu yang menghidu potensi arowana emas sebagai ikan hiasan.

Dengan membeli anak ikan itu hidup-hidup daripada penduduk tempatan yang mengailnya dari Tasik Bukit Merah, beliau menjualnya semula kepada peniaga ikan hiasan di Pulau Pinang pada harga RM15 seekor.

Rezeki menjual ikan kelisa secara kecil-kecilan itulah sebahagian usaha Ahmad yang menjadi anak yatim seawal usia dua tahun untuk membantu ibunya menyara keluarga.

"Dari situ minat saya terhadap arowana khususnya spesies emas Malaysia mula bercambah. Kenangan zaman remaja itu telah menjadi inspirasi kepada saya untuk menceburkan diri dalam industri penternakan ikan arowana secara serius pada tahun 2001.

"Sebelum menubuhkan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn. Bhd. (BMA) yang menjadi perintis kepada industri ikan arowana di Bukit Merah ini, saya juga pernah membuka kedai ikan hiasan di Taiping," jelasnya.

Harga

Bermula dengan 25 buah kolam yang dibina di atas tanah pusaka arwah bapanya seluas 0.8 hektar, kini Pengarah Urusan BMA itu boleh berbangga kerana memiliki 1,000 buah kolam ternakan ikan arowana.

Walaupun menternak pelbagai spesies arowana seperti mas merah, highback, merah banjar, super red, merah cili, emas highback, perak dan hijau, bagi Ahmad, emas Malaysia ialah spesies yang paling berharga.

"Jika spesies lain, seekor anak ikan sebesar 12.7 sentimeter (sm) boleh dijual pada harga RM20 hingga RM1,500, anak ikan arowana emas Malaysia pula berharga RM2,500 seekor.

"Ikan hiasan itu bukan sahaja telah memberi pulangan jutaan ringgit malah yang lebih berharga daripada itu, ia memberi nilai sentimental yang mengingatkan saya kepada zaman silam," cerita Ahmad.

Induk daripada spesies arowana emas berkenaan mampu dijual sehingga RM24,000 seekor. Malah menurut Ahmad, beliau pernah menjual seekor arowana emas Malaysia yang bersifat albino pada harga RM300,000 pada tahun 2006.

Oleh sebab itu, bibir Pengerusi Persatuan Penternak Arowana Utara itu tidak henti-henti mengukir senyuman apabila Bengkel Standard Kualiti Arowana Emas Malaysia yang diadakan di Bukit Merah baru-baru ini memutuskan untuk menjadikan arowana emas Malaysia sebagai warisan negara.

Bagi bapa kepada 12 cahaya mata itu, penat-jerihnya memartabatkan ikan arowana emas Malaysia di mata dunia selama ini seolah-olah telah berbayar berikutan inisiatif Jabatan Perikanan tersebut.

"Pengiktirafan itu meletakkan ikan hiasan ini di tempat sewajarnya memandangkan ia merupakan merupakan khazanah paling berharga Tasik Bukit Merah," katanya.

Secara tidak langsung, pengwartaan arowana emas Malaysia sebagai warisan negara bakal menyerlahkan lagi nama Bukit Merah di mata dunia.

Dari sudut perniagaan pula, pengusaha ikan arowana di Zon Akuakultur Bukit Merah yang seluas 100 hektar sekarang bakal menerima manfaat besar serta potensi mengembangkan perniagaan mereka.

Selain menjamin nilai arowana emas Malaysia di pasaran antarabangsa, ia juga mampu mengukuhkan lagi penguasaan negara dalam industri berkenaan.

Setakat ini, Malaysia menguasai hampir 70 peratus pasaran arowana dunia biarpun mendapat saingan sengit daripada Indonesia dan Singapura.

Malah, ciri-ciri unik ikan itu akan semakin mudah dikenal pasti peminat ikan hiasan menerusi pengenalan Standard Spesifikasi Ikan Arowana Emas Malaysia atau DOF STAN 1:2012 kelak.

"Sebelum ini, ada beberapa kes peminat ikan hiasan khususnya yang baru berjinak-jinak terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menipu menjual pada harga tinggi ikan arowana hijau yang diakui kononnya emas Malaysia.

Mulut

"Ia bukan sahaja merugikan pelanggan bahkan memberi kesan kepada nilai pasaran arowana emas Malaysia yang sedikit merudum akhir-akhir ini akibat isu tersebut," jelas Ahmad.

Beliau yang juga salah seorang panel Jawatankuasa DOF STAN 1:2012 memberitahu, ikan arowana emas Malaysia boleh dikenal pasti daripada sisiknya yang berwarna keemasan dan semakin terserlah pada peringkat pramatang dan dewasa.

Selain itu, ikan yang turut dikenali sebagai dragon fish dan dragon bonytongues itu mempunyai sesungut dan lidah yang keras seperti tulang. Ia juga mampu membuka mulutnya dengan luas dan mempamerkan struktur giginya yang halus tetapi kuat.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus daripada 336,000 ekor ikan arowana pelbagai spesies bernilai RM151 juta yang dikeluarkan setiap tahun oleh Zon Akuakultur Bukit Merah dibeli oleh pelanggan dari China.

Senario itu tidak menghairankan kerana ia berkait rapat dengan sentimen kaum tersebut yang percaya arowana adalah lambang kekayaan dan mempunyai feng shui yang baik untuk membantu kejayaan pemiliknya.

"Orang Cina percaya ikan yang menyerupai naga ini lambang kepada kesihatan yang baik, mampu menjamin keharmonian keluarga dan memberi perlindungan daripada sihir," ujar Ahmad.

Bercerita tentang penjagaan arowana, Ahmad berkata, ikan hiasan itu sesuai membiak di negara yang beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Selain memerlukan bekalan air yang sentiasa mengalir sepanjang tahun, kolam ternakan ikan arowana hanya sesuai dibina di kawasan tanah liat berpasir dengan kandungan tanah liat sekurang-kurangnya 55 peratus.

Habitat yang sesuai untuk pembiakan ikan arowana juga memerlukan kandungan air pada kadar pH antara 6.8 dan 7.4.

"Bagi memastikan pembiakan anak ikan arowana yang berkualiti, hanya enam ekor induk ikan jantan dan 10 betina diisi di setiap kolam yang sebesar 6x15 meter.

"Ikan yang bersifat karnivor itu akan diberi makan anak ikan seluang selain makanan tambahan lain seperti udang, cengkerik, katak, ulat dan lipan sebanyak dua kali sehari," katanya.

Berbanding ikan hiasan lain yang memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan untuk membiak, proses persenyawaan induk arowana lebih mudah kerana ia berlaku secara semula jadi.

Ikan arowana akan matang apabila berusia antara dua hingga tiga tahun. Pada masa itu, induk jantan dan betina bakal berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.

Ujar Ahmad, ikan hiasan itu hanya bertelur setahun sekali. Telur yang telah disenyawakan akan dikutip ikan jantan untuk dieram di dalam mulutnya selama dua bulan.

"Sepanjang tempoh tersebut, induk ikan jantan akan 'berpuasa'. Anak-anak ikan yang telah menetas hanya akan diluahkan daripada mulutnya selepas boleh berenang sendiri.

"Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa," beritahu beliau.

Begitupun, Ahmad menjelaskan bagi tujuan komersial, mulut ikan jantan terbabit akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak ikan sebelum diletakkan di dalam inkubator yang fungsinya menyerupai mulut si induk.

- KOSMO!


Dah baca klik LIKE (^_^)

No comments: